Friday, 10 October 2014

BUDAYA KEUSAHAWANAN


Budaya adalah corak perilaku harian yang diamalkan oleh individu ataupun kumpulan individu di dalam menguruskan hal-hal kehidupan mereka. Budaya yang murni selalunya mempengaruhi corak perilaku individu kearah yang dikehendaki dan diterima oleh kumpulan masyarakat setempat. Keusahawanan merangkumi sikap, pengetahuan dan kemahiran yang cenderung ke arah aktiviti perniagaan. Maka budaya keusahawanan boleh didefinisikan sebagai corak perilaku individu dan kumpulan individu dalam sebuah masyarakat yang cenderung ke arah melakukan kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan perniagaan.

Budaya keusahawanan adalah ekspresi sikap sosial yang positif terhadap perniagaan dan perlu disemai untuk memperkuat proses pembangunan insan dalam sektor perniagaan dan perusahaan. Usaha melahirkan usahawan yang berjaya bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia perlukan komitmen, dedikasi, ketegasan, dan amalan yang berterusan ke arah mempraktikkan roh keusahawanan dalam setiap urusan harian. Hal ini dikatakan sebagai pembudayaan keusahawanan. Budaya keusahawanan individu boleh diasuh dan dididik sehingga ia melekat seperti “aur dengan tebing”. (Kamarulzaman Ismail, Amaludin Ab. Rahman, 2009). Maka pembudayaan keusahawanan perlu dipupuk dan dimantapkan dalam jiwa belia supaya generasi ini akan dapat menggerakkan usaha ke arah mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Pembudayaan keusahawanan juga merupakan proses pembangunan sikap dan personaliti usahawan agar cintakan kejayaan dan kecemerlangan dalam setiap usaha yang dilakukan. Melalui proses pembudayaan ini membolehkan usahawan bertindak selaras dengan tuntutan moral, etika dan akhlak agar kesan daripada aktiviti yang dilakukan akan mendatangkan kesejahteraan kepada diri sendiri dan masyarakat pada masa kini atau akan datang.

Diantara perkara-perkara yang perlu diberikan penumpuan dalam membangunkan budaya keusahawanan adalah:-

a)      Mengawal halatuju masing-masing
Setiap perniagaan yang diceburi oleh usahawan akan sentiasa mengalami ketidakstabilan, perubahan dan terdedah kepada ancaman dalaman atau luaran. Keadaan ini memerlukan usahawan menyelia, melaksana dan mengawal halatuju perniagaan yang diceburi agar terus berkembang. Halatuju perniagaan yang jelas akan membolehkan usahawan menyusun strategi untuk terus memajukan perniagaan. Usahawan perlu mempunyai pemikiran yang mampu memfokus kepada masa depan dengan merancang strategi-strategi yang paling sesuai bagi memajukan perniagaannya.

b)     Memaksimumkan potensi diri
Usahawan tidak boleh berpuashati dengan apa yang dicapai setakat hari ini sahaja. Mereka perlu meneruskan dan memaksimumkan usaha, kemahiran dan kemampuan diri bagi menjamin kelangsungan perniagaan yang diceburi. Mereka perlu sentiasa membuat analisis pemasaran produk, kekuatan pesaing dan melihat permasalahan, peluang seta sebarang perubahan secara holistik. Selain itu mereka mesti sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang risiko dan juga ketidakpastian serta tahu tentang strategi dan taktik untuk menangani nya dan menjadikan sesuatu risiko dan ancaman itu sebagai satu peluang yang boleh menguntungkan.

c)      Mendapat keuntungan
Walaupun keuntungan tidaklah semestinya menjadi objektif utama perniagaan tetapiia tetap menjadi kayu pengukur kejayaan seseorang usahawan. Keuntungan yang dicapai melambangkan kejayaan sesebuah syarikat kerana dengan keuntungan yang diperolehi membolehkan sesebuah syarikat itu mengembangkan lagi perniagaannya, mengaplikasikan teknologi terkini dalam pengeluaran dan operasi perniagaan dan membolehkannya membuat promosi yang lebih agresif lagi. Keuntungan juga boleh meningkatkan keyakinan pekerja terhadap syarikat kerana mereka tahu sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi akan dipulangkan kepada mereka sama ada dalam bentuk dividen, bonus atau kenaikan gaji tahunan. Ia juga boleh meningkatkan keyakinan pembekal dan kreditor bahawa syarikat mampu membayar pinjaman dan kredit yang diberikan kepada mareka. Keuntungan yang diperolehi akan meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap syarikat kerana mereka yakin syarikat bersedia untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan memberi pulangan yang menguntungkan ke atas pelaburan yang dilakukan.


d)     Berorientasikan perancangan
Perancangan merupakan satu aspek yang penting bagi seseorang usahawan dalam menyusun strategi perniagaan agar mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Usahawan mestilah sentiasa memfokuskan kepada masa hadapan dan sensitif terhadap sebarang perubahan yang berlaku. Usahawan tidak sepatutnya gelojoh atau mengambil masa yang lama untuk merebut peluang. Usahawan bukanlah seorang yang pakar dalam semua aspek maka mereka perlu melibatkan pihak yang mempunyai kepakaran dalam membuat keputusan yang diluar kemahiran yang dimiliki. Langkah berhati-hati membantu usahawan merancang masa depan dan perniagaanya dengan baik dan sistematik. Perancangan yang dibuat mestilah tidak terlalu panjang kerana ketidakpastian saiz pasaran yang mungkin berubah mengikut peredaran masa.

e)      Menggunakan masa secara strategik
Pengurusan masa adalah amat penting bagi menjamin kejayaan seseorang usahawan. Pengurusan masa mestilah dilakukan secara strategik iaitu dengan memastikan setiap masa disusuli dengan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan perkembangan syarikat.

f)       Inovatif
Komitmen terhadap inovasi perlu dipupuk dan dibaja dalam diri usahawan. Usahawan yang inovatif lagi kreatif akan memiliki kecenderungan untuk menggunakan imaginasi bagi mengesan serta merbut peluang, mengambil faedah daripada cabaran dan permasalahan yang dihadapi untuk memastikan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Pembudayaan inivasi dalam penyelesaian masalah akan mengelakkan usahawan daripada bersikap pasif, defensif dan terlalu yakin dengan kejayaan semasa. Pembudayaan inovasi juga akan membolehkan syarikat terus mengembangkan saiz pasaran, memodifikasikan produk dan proaktif terhadap tuntutan semasa pelanggan.

g)      Meningkatkan kualiti kerja secara berterusan
Penghasilan produk dan perkhidmatan yang bermutu tinggi secara berterusan akan dapat menjamin kesetiaan, komitmen dan kepuasan pelanggan. Seterusnya akan memberikan keuntungan kepada usahawan. Nilai kualiti yang tinggi akan memberikan pulangan yang menguntungkan melalui kesetiaan pelanggan. Oleh itu usahawan perlulah berusaha untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Teknologi merupakan satu mekanisma yang dapat membantu meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran sesuatu produk. Oleh itu para usahawan juga perlu prihatin terhadap penggunaan teknologi kerana ia menyumbang ke arah pembuatan dan teknik reka bentuk yang lebih cekap dan tingkat daya pengeluaran yang lebih tinggi.

h)     Kesediaan untuk merebut peluang

Peluang-peluang perniagaan perlu dicari, dikenalpasti dan di eksploitasi sendiri oleh usahawan. Oleh itu seseorang usahawan itu perlulah memaksimumkan kekuatan daya berfikir dengan mencari jalan penyelesaian sebarang masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan mengeksploitasikannya dengan menjadikan masalah-masalah tersebut sebagai peluang perniagaan. Justeru itu usahawan perlulah meningkatkan pengetahuan dengan mengambil manfaat daripada pergaulan hariannya, memberikan perhatian terhadap pendapat-pendapat pekerja, pelanggan atau pesaing, meningkatkan pembacaan dan mengenalpasti kemahiran, kebolehan dan potensi yang ada padadiri sendiri.

No comments:

Post a Comment