Aktiviti
keusahawanan telah lama diakui sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di
samping bertindak sebagai penggerak utama dalam meningkatkan tahap inovasi,
kreativiti dan daya saing sesebuah negara. Aktiviti keusahawanan juga adalah
merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan bina upaya kepada usaha
meningkatkan inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara. Transformasi
Malaysia daripada ekonomi berasaskan pengetahuan kepada ekonomi berpaksikan inovasi
dalam mencapai aspirasi untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi
menjelang tahun 2020 memerlukan sokongan modal insan yang berkualiti dan
kompetitif.
Dalam
konteks negara Malaysia, aspek pembangunan keusahawanan, terutamanya di
kalangan masyarakat Bumiputera telah diberikan perhatian yang serius bermula
dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Melalui dasar ini
pembangunan keusahawanan di kalangan masyarakat bumiputera telah dijadikan
sebagai agenda penting negara dalam usaha untuk membangunkan Masyarakat
Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), yang telah dikenal pasti
sebagai pendekatan utama untuk menyusun semula masyarakat dan dalam memastikan
penyertaan Bumiputera yang lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negara.
Pembangunan
Keusahawanan khasnya usahawan Bumiputera adalah tertumpu kepada empat kumpulan
sasaran iaitu golongan pelajar, siswa/siswazah IPT, serta golongan belia dan
wanita. Dalam konteks kumpulan sasar ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
berperanan untuk menerajui pembangunan keusahawanan di kalangan siswa/siswazah
IPT. Mereka sepatutnya diberikan pendedahan dan diterapkan dengan nilai-nilai
dan kemahiran keusahawanan yang merangkumi aspek kepimpinan, inovasi,
kreativiti, berdaya tahan, berdaya saing, berdikari, mengambil risiko terkira
(calculated risk) dan kebolehan untuk mengenal pasti dan membuka peluang
(opportunity identification and creation).
Menyedari
akan kepentingan perkara di atas, KPT telah melancarkan Dasar Pembangunan
Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi pada 13 April 2010 yang bertujuan untuk
menggalakkan pendidikan dan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan
holistik dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi. Pelaksanaan inisiatif
berpandukan dasar tersebut diharap dapat melahirkan siswazah/lepasan IPT yang
mempunyai nilai, pemikiran dan atribut keusahawanan meningkatkan bilangan
usahawan dalam kalangan siswazah/lulusan IPT iaitu mereka yang benar-benar
berkecimpung dalam bidang perniagaan sebagai pemangkin kepada pencapaian
transformasi ekonomi negara daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada
ekonomi berpendapatan tinggi dan pada masa yang sama melahirkan ahli akademik
yang mempunyai nilai, kemahiran, pemikiran dan atribut keusahawanan
(entrepreneurial academics).
Pendidikan
keusahawanan adalah juga merupakan komponen penting dalam menjana masyarakat
Malaysia yang kreatif dan berinovasi seperti yang dihasratkan di bawah Pelan
Pembangunan Modal Insan Inovasi. Manakala daripada aspek sosial pula,
perkembangan positif aktiviti keusahawanan akan mampu menjayakan aspirasi
kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan dan keupayaan golongan besar
masyarakat serta mengurangkan jurang antara masyarakat miskin dan kaya serta
masyarakat bandar dan luar bandar.
No comments:
Post a Comment