Monday, 29 September 2014

Tokoh Usahawan Yang Berjaya Dan Terkaya Di Asia


1.      Tony Fernandes (Air Asia)

      Biodata



Dato’Tony Fernandes merupakan seorang tokoh usahawan yang berjaya berketurunan India pengasas dan peneraju syarikat penerbangan tambang murah iaitu Air Asia. Tony Fernandes dilahirkan pada 30 April 1964 dan merupakan campuran Portugis Goa (India) dan Portugis Melaka. Dr.Stephen Edward Fernandes merupakan bapa kepada Tony Fernandes dan Ena Dorothy Fernandez ialah ibu beliau.                                                                                                        
Semasa kecil beliau kerap mengikuti ibunya berniaga. Ibu beliau merupakan seorang peniaga kecil-kecilan dan mengikut ibunya ke majlis-majlis para  peniaga tupperware. Semasa beliau berusia 13 tahun, beliau melanjutkan persekolahan di England pada tahun 1977 dan seterusnya lulus di London School of Economics pada  tahun 1987. Beliau mula memasuki alam perkerjaan di Virgin Atlantic sebagai auditor, kemudian sebagai kontroller kewangan di sebuah syarikat dimilik oleh Richard Branson, iaitu Virgin Record sehingga 1989.

Setelah beliau kembali ke Malaysia, beliau dilantik sebagai pengarah  urusan Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. Sewaktu bertugas di syarikat ini beliau berjaya mencetus suatu  ‘revolusi’ dalam muzik etnik, nasyid dan dangdut ke dalam arus perdana muzik tanah air. Beliau berkhidmat dalam Warner Music Sdn. Bhd. dari tahun 1992 sehingga 2001, akhir sekali memegang jawatan naib presiden kumpulan kawasan Asia Tenggara.

Beliau merupakan penggerak utama dalam penubuhan dan operasi Air Asia, syarikat penerbangan tambang murah yang paling berjaya di Asia. Beliau bermula dengan dua buah kapal terbang Boeing 737 yang masih dimiliki oleh kerajaan, kini kumpulan  Air Asia yang diterajui Tony Fernandes sejak tahun 2001  telah maju dari setapak ke setapak sehingga kini memiliki 62 buah kapal terbang dalam perkhidmatan dan 277 buah lagi dalam pesanan. Setelah kesemua kapal terbang beroperasi, ini akan menjadikan kumpulan penerbangan Air Asia sebagai kumpulan penerbangan tambang murah yang tebesar di dunia. Kini kumpulan Air Asia berkhidmat melalui  142 laluan dan 78 destinasi  dengan sejumlah 400 penerbangan sehari di Asia, dan juga ke Australia dan Eropah. Dalam tahun 2011, Air Asia telah menerbangkan sejumlah 30 juta penumpang dari pelbagai negara.

Sikap Peribadi

Kejayaan luar biasa selalunya di hasilkan oleh seseorang yang juga  mempunyai peribadi yang luar biasa yang membantu dalam setiap langkah yang dilalui. Pertama sekali ialah wujudnya minat untuk berniaga yang perlu untuk mendorong seseorang kearah itu. Tony Fernandes banyak dipengaruhi oleh ibu beliau yang aktif dalam menjual tupperware ke serata tanah air. Bagi Tony, ibu beliau adalah seorang wanita yang mengkagumkan kerana kemampuannya  yang luar biasa dalam menjual barangan  kepada sesiapa sahaja. Justeru itu beliau banyak belajar dari peribadi ibu beliau yang ternyata begitu penting dikala mengharungi  alam perniagaan.

Dr.Stephen Edward Fernandes memiliki sebuah klinik tetapi tidak mendapat keuntungan yang banyak disebabkan oleh sikapnya yang bermurah hati kepada setiap pesakit dengan memberi rawatan dan perkhidmatan serta ubat secara percuma. Perkara ini meyebabkan Tony tidak menyukai cara bapa beliau berniaga.

Sikap istimewa yang diturunkan oleh bapanya kepada Tony ialah dengan membantu rakyat yang kurang upaya. Hal ini dapat di lihat melalui cara bapanya yang memberi perkhidmatan percuma kepada pesakit yang miskin atau tidak mampu, begitu juga Tony yang memberi fokus kepada rakyat yang kurang mampu untuk membeli tiket penerbangan biasa. Walaupun sikap Tony dan bapanya serupa tetapi terdapat perbezaan tujuan iaitu bapa beliau membantu pesakit dengan tujuan mengurang bebanan mereka sehingga mengorbankan keuntungan tetapi Tony tetap terikat dengan prinsip perniagaan berasaskan keuntungan dan berkekalan.

Kemampuan beliau berkomunikasi, mempengaruhi orang dan semangat yang kental amat mengkagumkan dan merupakan satu ciri yang diwarisi dari ibu beliau. Selain itu, zaman persekolahan dalam usia yang sangat muda (umur 13 tahun) di sekolah berasrama di England, juga memberi kesan yang mendalam kepada peribadi beliau. Keadaan yang berjauhan dari keluarga dan kampung halaman, membentuk nilai teras dalam peribadi beliau, terutama kemampuan berkomunikasi dan berdikari dalam apa jua suasana. Ibu beliau meninggal sewaktu Tony hanya berusia 15 tahun. Ketiadaan ibunya memberi kesan yang mendalam kepada beliau. Ia meninggalkan kekosongan dalam hidup dan membantu dalam membentuk peribadi yang cekal dan  mampu berdikari di mana sahaja.

Jika di lihat dari segi kecenderungan usahawan mengambil risiko, Tony adalah contoh yang amat ekstrim. Beliau adalah seorang yang hyperactive dan begitu fokus dalam melaksanakan perkara yang beliau minati, sehingga sanggup menggadai apa sahaja yang beliau miliki walaupun masih jauh daripada mencukupi sebagai modal syarikat. Kesanggupan beliau untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan sudah tentu bukanlah sesuatu dalam jangkaan untuk seorang yang tidak  memiliki modal yang cukup dan hanya berbekalkan minat dan semangat yang kental. Tony bersikap reckless dalam membuat sesuatu pertimbangan kerana beliau tetap mementingkan soal keuntungan. Malah beliau  amat yakin  kepada soal potensi pertumbuhan yang tinggi dalam industri penerbangan di Asia sebelum menceburi sektor tersebut.

Bagi menentukan kejayaan, sikap beliau yang fokus  kepada sesuatu projek adalah suatu ciri yang tepat dan dapat membantu mengurangkan risiko. Beliau berkata,” Saya bukanlah seseorang yang suka memulakan dua puluh benda dan  kemudian berharap tiga akan berjaya. Saya lebih berminat memulakan dua atau tiga dan tentukan ia berjaya, kemudian laksanakan usaha-usaha seterusnya”. Sikap ini biasa kita nampak ada pada usahawan terkemuka seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Mydin, Tan Sri Azman Hashim,  Tan Sri Teh Hong Piow  di tanah air kita dan usahawan usahawan seperti pengasas Microsoft, Apple, Facebook, Ford Motor Company, Honda Motors dan banyak lagi di arena global.

Halangan

Kemampuan berkomunikasi timbul daripada personaliti yang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi yang di asah semasa belajar dan berkhidmat di England dan di Kuala Lumpur. Selain itu beliau juga menunjukkan sikap meminimakan ego dan bersedia untuk memaafkan dan melupakan yang membolehkan beliau membuat pertimbangan yang terbaik untuk syarikat dalam sesuatu waktu.  Misalnya dalam berurusan dengan Kerajaan Singapura untuk mendapat kebenaran mendarat di sana beliau telah berhadapan dengan rintangan demi rintangan yang berlarutan, yang biasanya melunturkan semangat orang biasa. Walaupun demikian, beliau masih  boleh lagi berinteraksi dengan pegawai-pegawai kerajaan Singapura dengan baik, sambil  menganggap detik detik pahit yang dilalui  hanya sebagai cabaran dalam mengembangkan laluan Air Asia. Kini Air Asia mengadakan 26 penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Singapura sehari.

Sebelum itu, cabaran yang pertama beliau lalui timbul dari sikap masyarakat perniagaan Malaysia sendiri yang bersikap sinikal terhadap rancangan beliau menubuhkan syarikat penerbangan. Perkara ini tidak melunturkan semangat beliau, malah dengan pantas, melalui Dato’ Pahamin Rajab, beliau berjaya meyakinkan Tun Mahathir, Perdana Menteri ketika itu, untuk meluluskan rancangan beliau dengan cara mengambil alih syarikat penerbangan  Air Asia, sebuah syarikat yang nyata gagal dan dimiliki oleh kerajaan.

Setelah berjaya dengan syarikat Air Asia, beliau mengalih fokus untuk menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai hub penerbangan tambang murah di rantau Asean. Beliau tahu ini satu perkara yang amat sukar diterima kerajaan kerana negara perlu mengukuhkan kedudukan KLIA yang baharu sahaja siap diketika itu. Tetapi Tony bersikap jangan sesekali menjawab tidak untuk jawapan. Beliau menggunakan media massa untuk mempengaruhi masyarakat dan kerajaan. Akhirnya kerajaan bertegas menolak cadangan Air Asia demi kepentingan negara, tetapi dalam proses ini Tony berjaya mendapat laluan-laluan udara yang baru serta mendapat LCCT yang baru di KLIA dengan kadar tariff yang berdiskaun. Ini  membantu Air Asia mengukuhkan daya saing  ketika berhadapan dengan Malaysia  Airlines dan syarikat-syarikat penerbangan yang lain.

Demikian juga Tony menempuhi beberapa cabaran dalam usaha mendapat hak mendarat di lapangan terbangan Bangkok, Jakarta, Hong Kong dan banyak lagi  sama ada di Asia ataupun  atau benua benua lain. Namun nampaknya pengalaman di Singapuralah yang paling mencabar. Mengikut buku The Air Asia Story ditulis oleh Sen Ze dan Jayne Ng, bagi Tony, kualiti seorang usahawan yang paling penting ialah kecekalan atau “willing to never take no for an answer”. Bagi Tony, “Berpeganglah dengan keyakinan anda. Jika anda terlalu mendengar kata orang lain, anda tidak mungkin dapat memulakan sesuatu. Sebab itulah  mereka  tidak menjadi usahawan. Orang yang memberi nasihat itu bukanlah usahawan. Jika tidak, sudah tentu mereka melaksanakan sendiri. Kita hanya perlu yakin dan laksanakannya”






2.         Tan Sri Lim Goh Tong




Biodata

Lim Goh Tong (Lín Wútóng) merupakan seorang usahawan Tionghoa yang terkaya di Malaysia dan Asia pada tahun 2005 hingga dia meninggal dunia dengan harta sebanyak RM421.60 bilion. Beliau merupakan pengasas dan presiden seumur hidup Kumpulan Genting. Menurut majalah Forbes Asia, Lim merupakan orang yang paling kaya di Asia dengan jumlah aset US$42.2 billion (RM160.6 billion) pada tahun 2006 hingga beliau meninggal dunia. Kemudian, anak beliau, Tan Sri Lim Kok Thay telah mengambil alih pegangan dan pengurusan Genting Berhad.

Beliau dilahirkan pada tahun 1918 di daerah Anxi, wilayah Fujian, China. Beliau telah berkahwin dengan Lee Kim Hua dan di kurniakan 6 orang anak. Lim telah meninggal dunia ketika usia beliau 89 tahun iaitu pada 23 Oktober 2007. Lim datang ke Malaysia daripada Fujian, China ketika umurnya 19 dengan hanya RM175, bekerja sebagai tukang rumah dengan pakciknya, menyimpan wang dan akhirnya memiliki syarikatnya sendiri, Kien Huat. Kedatangan beliau sebagai seorang yang sangat miskin menyebabkan beliau berusaha lebih keras untuk membaiki taraf hidup. Pengasas Genting Group merangkap hartawan Asia, Tan Sri Lim Goh Tong pernah mendedahkan beberapa tips yang diamalkannya sendiri sehingga berjaya menjadikan Genting Highlands Resort sebagai pusat hiburan dan percutian terkemuka dunia.  Beliau menpunyai idea membina genting semasa di Cameron Highlands. Beliau sendiri pernah dikatakan gila apabila mengatakan hasrat untuk membagunkan Gunung Ulu Kali sebagai Genting Highlands.

Sifat Peribadi

Lim mengamalkan sikap dengan menyimpan wang yang diperolehi bukan untuk dibelanjakan tetapi untuk dibuat pusingan modal dan pelaburan yang akan datang. Wang modal perniagaan dengan wang perbelanjaan harian mesti disimpan secara berasingan. Hal ini bagi mengelakkan masalah pengeluaran perbelanjaan untuk keperluan yang tidak sepatutnya. . Apabila mempunyai wang yang besar untuk dilaburkan maka keuntungan juga semakin tinggi. Mempunyai kedudukan yang kukuh dalam perniagaan adalah harapan bagi semua peniaga dan usahawan yang berjaya.

Beliau bermula dengan bekerja dari peringkat yang paling bawah iaitu sebagai tukang kayu sebelum membuka syarikat pembinaan Kien Huat dan bergelar kontraktor kelas A. Tan Sri sendiri merupakan seorang budak miskin semasa mula berhijrah ke Tanah Melayu. Kemudian, usaha gigih beliau membuahkan hasil yang lumayan. Pelbagai pekerjaan yang dilakukan sebelum bergelar jutawan. Sifat peribadi beliau yang berani mengambil risiko menjadikan beliau seorang berjaya dalam mereliasasikan impiannya.

Kemunculan pusat perlancongan bertaraf dunia itu adalah hasil idea seorang lelaki Cina yang pernah dilabel sebagai gila suatu ketika dahulu. Ejekan yang diterima dijadikan pembakar semangat untuk maju. Orang pernah mengatakan bahawa idea itu tidak akan kemana dan pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal berikutan tiada siapa yang berminat dengan perniagaan seperti itu. Beliau telah menyahut cabaran itu dengan bekerja 2 syif sepanjang minggu bagi menjimatkan kos. Beliau dan kawan-kawannya terpaksa tinggal di dalam hutan dan gua bedekatan. Beliau merupakan orang pertama yang bekerja mengikut syif 24 jam sehari sepanjang minggu untuk memastikan cita-cita itu tercapai. Beliau juga akan menjadi orang yang pertama sampai ke tempat kerja dan menjadi orang yang terakhir untuk pulang dari tempat kerja. Beliau sentiasa menjaga pekerja-pekerjanya dan beranggapan bahawa semua pekerjanya adalah aset yang paling berharga. Kini, First World Hotel merupakan antara hotel terbesar di dunia.

Pencapaian


Kumpulan Genting yang diasaskan pada 1965 kini menjalankan pelbagai kegiatan termasuk perladangan, pembuatan kertas, penjanaan tenaga, minyak dan gas, perdagangan elektronik, pelancongan, pelayaran , pembangunan teknologi maklumat dan pusat perjudian yang terbesar di asia. Lim memiliki hotel yang terbesar di dunia, Genting (First World Hotel, 6 300 bilik), kasino 24 jam yang dikunjungi lebin 14 juta orang setahun. Beliau juga memiliki syarikat kapal pelancongan Star Cruises, syarikat kapal pelayaran ketiga besar di dunia. Beliau juga terlibat dalam perniagaan gas dan minyak di Asia Dan Eropah. Beliau bermula daripada kontraktor kecil. Beliau telah mendapat hak membangunkan Genting pada tahun 1964 di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia. Kini Tan Sri Lim Goh Tong berjaya sebuah empayar besar bertaraf dunia.

No comments:

Post a Comment